PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan seorang ahli perniagaan, Albert Tei serta bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kedua-dua individu berkenaan akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan dan memberikan keterangan.
Menurutnya, pihak yang membuat dakwaan serta mereka yang ditohmah perlu tampil bagi memastikan semua maklumat dapat dikumpul secara menyeluruh.
“SPRM juga akan memanggil semua pihak berkaitan bagi mengumpul bukti-bukti yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, siasatan akan dijalankan segera mengikut prosedur undang-undang tanpa sebarang kompromi.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
Terdahulu, nama Shamsul Iskandar menjadi perhatian selepas timbul dakwaan beliau menerima rasuah daripada ahli perniagaan Albert Tei.








