SPRM Siasat Tender Tentera Darat, 26 Syarikat Jadi Tumpuan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam memulakan siasatan terhadap 26 syarikat di beberapa negeri yang dipercayai terlibat dalam tender perolehan Tentera Darat.

Difahamkan, siasatan turut melibatkan semua pemilik syarikat berkenaan yang menerima kontrak perolehan daripada Tentera Darat. Menurut sumber, SPRM tidak menolak kemungkinan untuk menahan reman kesemua individu terbabit bagi membantu siasatan.

“SPRM memulakan siasatan terhadap 26 syarikat itu sekitar jam 11 pagi semalam di kawasan Lembah Klang, Perak dan Pulau Pinang,” kata sumber berkenaan, memetik Berita Harian pada Selasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 17 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa SPRM telah mengenal pasti beberapa individu lain yang dipercayai terbabit dalam kes rasuah yang dikaitkan dengan seorang pegawai kanan Tentera Darat.

Petunjuk terbaharu itu diperoleh hasil siasatan berterusan SPRM terhadap beberapa projek tender perolehan Tentera Darat yang sedang dijalankan sejak beberapa minggu lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM turut menyita enam akaun bank yang dipercayai milik seorang pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM) serta ahli keluarganya bagi membantu siasatan dakwaan rasuah melibatkan perolehan projek TDM.

Azam mengesahkan tindakan itu dan berkata satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Pada 23 Disember lalu, SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk menyiasat projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

Sehari kemudian, pada 24 Disember, SPRM memanggil tiga individu untuk dirakam keterangan berhubung siasatan berkenaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat