SPRM siasat UKM kes berkait LKAN minggu depan

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat siasatan awal minggu hadapan mengenai kes ketidakaturan pengurusan kewangan serta isu tatakelola melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Menerusi kenyataan media pada Jumaat, SPRM ambil maklum dapatan yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2026 Siri 1 berkaitan kes tersebut.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil maklum dapatan yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 berkaitan ketidakaturan pengurusan kewangan serta isu tatakelola melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Sehubungan itu, SPRM akan memulakan siasatan awal bermula minggu hadapan bagi meneliti sama ada terdapat kelemahan tata kelola atau unsur jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, atau pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa Suruhanjaya,” katanya pada Jumaat.

SPRM menjelaskan bahawa siasatan akan akan tertumpu kepada perkara-perkara yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan, termasuk dakwaan ketidakaturan serius dalam pengurusan kewangan universiti, kutipan yuran tanpa kuasa dan hasil yang tidak direkodkan atau tidak diakaunkan dengan sewajarnya.

Tegasnya, siasatan dijalankan secara profesional, bebas dan berlandaskan undang-undang tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak.

“Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat bukti berlakunya kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 atau undang-undang lain yang berkaitan,” ujarnya.

Justeru, SPRM kekal komited memastikan setiap dana awam diurus secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat serta menjaga kepercayaan terhadap institusi pendidikan tinggi negara.

Sebelum ini, LKAN 2026 Siri 1 mendedahkan ketakteraturan serius dan pelanggaran tatakelola dalam kutipan yuran pelajar serta perbelanjaan di UKM, di mana Koperasi B-5-1788 mengutip yuran pelajar berjumlah RM50.74 juta tanpa kuasa.

Ia turut mendapati hasil yuran berjumlah RM32.36 juta tidak direkod sebagai hasil UKM daripada keseluruhan hasil yuran pelajar berjumlah RM60.77 juta.

Menurutnya, audit juga mendapati RM6.69 juta perbelanjaan tidak teratur melibatkan bayaran komisen kepada ejen tidak layak sebanyak RM5.94 juta, selain RM107,907 belanja ke luar negara kepada enam individu bukan kakitangan UKM.

Tambahan, satu perjanjian kerjasama dimeterai pihak universiti tanpa kelulusan menteri kewangan, manakala RM403,500 nilai perolehan tidak dibuat melalui Jawatankuasa Sebut Harga.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat