SPRM Sita Aset RM143 Juta Susulan Penyelewengan Dana Sukuk Lebuh Raya

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita aset bernilai RM143 juta yang dipercayai berkaitan penyelewengan dana sukuk bagi pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Penyelewengan itu disyaki berlaku antara 2016 hingga 2020 yang melibatkan tuntutan palsu serta aktiviti rasuah yang menyebabkan kegagalan projek lebuh raya bernilai RM1.67 bilion disiapkan mengikut jadual.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, aset yang disita merangkumi wang dalam 14 akaun bank milik pemegang konsesi bernilai RM4.5 juta dan lapan akaun syarikat (RM33 juta) serta kondominium mewah dan sebidang tanah** bernilai RM24.5 juta.

“Sitaan juga meliputi sembilan unit kereta bernilai RM7.65 juta, jam tangan mewah RM25 juta, tas tangan RM3 juta, barang kemas serta berlian bernilai RM6 juta, empat ekor kuda bernilai RM400,000 dan minuman keras mewah RM3 juta,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Selain itu, katanya, siasatan mendapati RM12 juta dipercayai dibayar sebagai rasuah kepada pihak tertentu bagi memudahkan pengaliran dana yang kemudiannya dikembalikan kepada suspek.

Azam Baki juga mendedahkan bahawa dana yang diseleweng itu dipercayai turut digunakan dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan kemungkinan penglibatan golongan juruaudit dan pakar kewangan.

SPRM kini sedang mengesan aset mewah milik suspek termasuk kenderaan dan hartanah di luar negara seperti di London dan Switzerland.

Siasatan turut tertumpu kepada nilai sebenar minuman keras mewah yang dipercayai telah dipindahkan ke akaun lain.

Sehingga kini, 45 saksi telah dipanggil dengan sebahagian mereka akan dipanggil semula untuk keterangan lanjut.

Notis pengisytiharan harta juga telah diserahkan kepada suspek dan pihak berkaitan.

“Kami komited untuk membersihkan imej industri dan memastikan wang rakyat digunakan dengan sebaiknya,” katanya.

Azam Baki menegaskan bahawa siasatan akan diteruskan bagi memastikan semua pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.

Anda Mungkin Berminat