KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita emas, sebuah kenderaan utiliti sukan berprestasi tinggi (SUV) serta wang tunai dalam pelbagai mata wang asing yang dianggarkan bernilai kira-kira RM6.9 juta, susulan siasatan membabitkan projek tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Menurut sumber, wang tunai yang disita merangkumi mata wang asing antaranya Dolar Amerika Syarikat (USD), Euro, Pound Sterling, Yen Jepun dan Riyal Arab Saudi.
Sitaan tersebut dilakukan hasil pemeriksaan ke atas sebuah SUV yang ditemui di sebuah bengkel di sekitar Lembah Klang, dipercayai ditinggalkan untuk tujuan pembaikan.
“Barang kemas yang disita melibatkan tiga jongkong emas 999, masing-masing seberat satu kilogram dengan nilai semasa dianggarkan sekitar RM1.8 juta.
“Turut dirampas sembilan keping emas seberat 100 gram setiap satu bernilai lebih RM500,000, selain sebuah SUV dianggarkan bernilai RM360,000 yang dipercayai dibeli secara tunai,” katanya, seperti dipetik Harian Metro.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus, ketika dihubungi mengesahkan sitaan berkenaan.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009.
Baca juga:








