PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita wang tunai bernilai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa dari premis yang dikaitkan dengan empat bekas pegawai kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan agensi itu turut merampas 16 kilogram jongkong emas tulen bernilai hampir RM7 juta dari lokasi berkenaan.
Menurut SPRM, pemeriksaan telah dijalankan di kediaman serta tiga premis lain yang dipercayai sebagai ‘safehouse’ susulan daripada siasatan lanjut terhadap keempat-empat individu berkenaan.
“Hasil operasi penggeledahan di lokasi-lokasi tersebut, SPRM menyita wang tunai dalam pelbagai mata wang antarabangsa seperti Baht, Riyal, Pound Sterling (BP), Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan,” katanya.
SPRM dalam pada itu turut mengesahkan kehadiran Ismail Sabri ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan pada 19 Februari lalu.
SPRM tidak menolak kemungkinan, beliau akan dipanggil semula bagi membantu siasatan selanjutnya.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM berkata, hampir 10 saksi telah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk membantu siasatan dalam masa terdekat.