Parti Bersatu mengatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh mencampuri urusan melibatkan kenyataan Ahli Parlimen Tesek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan dalam Dewan Rakyat melibatkan dakwaan sogokan sekiranya menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara itu disebabkan SPRM memberi tempah seminggu kepada Wan Saiful untuk membuat laporan berhubung dakwaan tersebut,
Menurut Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, ahli parlimen mempunyai imuniti daripada pendakwaan dan keistimewaan semasa berucap atau berbahas dalam sidang Dewan Rakyat.
“SPRM kena faham, SPRM tak boleh masuk campur apa yang wakil rakyat cakap dalam parlimen sebab ia ada akta ahli parlimen.
“Wakil rakyat ada hak untuk tentukan bila beliau nak buat laporan,” katanya.
Beliau memberi reaksi demikian ketika sidang media selepas Konvensyen Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur petang tadi yang turut dihadiri Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin menurut laporan Malaysia Kini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki pada 4 Mac lalu berkata menjadi tanggungjawab bagi mana-mana individu yang mendakwa ditawarkan rasuah untuk segera membuat laporan berlandaskan undang-undang di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009 untuk tindakan selanjutnya.
“Setakat sekarang yang saya rujuk kepada Ibu Pejabat SPRM dan pegawai saya, beliau (Wan Saiful) belum lagi datang ke SPRM untuk buat aduan atau laporan seperti mana yang beliau timbulkan di Dewan Rakyat.
“Jadi kita akan panggil beliau dalam tempoh minggu hadapan sekiranya dalam minggu ini beliau masih belum datang ke SPRM untuk buat laporan. Saya akan bagi arahan kepada pegawai saya untuk satu tindakan,” katanya.
Kata Azam lagi, apabila Wan Saiful menyebut di parlimen mengenai rasuah ditawar kepadanya maka sebenarnya menjadi tanggungjawab dia sendiri untuk membuat laporan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.
Wan Saiful membuat tuduhan itu ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Baca juga: