JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji ketegasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah kepimpinan Tan Sri Azam Baki sambil menegaskan bahawa tiada sebab untuk meragui integriti beliau pada ketika ini.
Menurut Anwar, SPRM kini lebih berani bertindak termasuk menyiasat serta mengambil tindakan terhadap tokoh besar negara dan itu sesuatu yang jarang berlaku sebelum ini.
“Saya tak nafi teguran, tapi percayalah, melihat pada perkembangan SPRM sejak puluhan tahun lalu, ini merupakan kali pertama SPRM berani geledah semua tauke besar. Itu kenyataan.
“Saya boleh ganti esok, tapi saya tak yakin yang baharu itu berani sentuh tokoh-tokoh besar.
“Jadi, bagi saya, berilah ruang kepada orang yang diamanahkan ini. Tiada sebab untuk kita ragui SPRM sekarang,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PKR di Kongres Nasional PKR 2024/2025, malam tadi.
Dalam ucapannya itu, Anwar turut menyindir pihak pembangkang yang lantang mengkritik pelantikan semula Azam tetapi tidak memberikan penghargaan terhadap keberanian SPRM.
“Yang riuh mengkritik tak pernah pun puji atau sokong bila SPRM ambil tindakan terhadap tauke besar,” katanya.
Untuk info, kontrak Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dilanjutkan untuk tempoh setahun lagi bermula 13 Mei lalu dan menjadikannya kali ketiga penyambungan sejak beliau memegang jawatan itu pada 2020.
Namun, pelanjutan itu mengundang kritikan dari beberapa NGO serta Timbalan Presiden PKR yang baharu, Nurul Izzah Anwar.
Untuk rekod, pada Januari 2022, Lembaga Penasihat Anti-Rasuah telah memutuskan bahawa Azam tidak melakukan sebarang salah laku berhubung isu pemilikan saham.