PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan dakwaan kononnya pihaknya menghalang individu daripada membuat aduan adalah tidak benar, malah disifatkan sebagai cubaan mewujudkan persepsi negatif terhadap prosedur penguatkuasaan serta tatacara keselamatan yang diamalkan.
Dalam kenyataan media pada Rabu, SPRM berkata, pihaknya sentiasa terbuka menerima sebarang aduan dan maklumat berkaitan rasuah daripada mana-mana pihak tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu.
“Walau bagaimanapun, setiap proses pengaduan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) serta protokol keselamatan yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan premis, kelancaran urusan rasmi dan perlindungan maklumat,” katanya.
SPRM berkata, kawalan kemasukan ke premis adalah amalan standard yang dilaksanakan secara konsisten kepada semua pengunjung tanpa diskriminasi atau tujuan menghalang mana-mana pihak daripada membuat laporan.
“Untuk makluman, premis SPRM tertakluk kepada peruntukan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 [Akta 298] yang memperuntukkan bahawa hanya individu yang mempunyai kebenaran, pas atau permit sah dibenarkan memasuki kawasan berkenaan serta tertakluk kepada arahan dan pemeriksaan keselamatan oleh pegawai berkuasa,” katanya.
Dalam nada tegas, SPRM turut menolak dakwaan wujud isu gender dalam proses rakaman aduan atau pengambilan keterangan.
Pegawai yang menjalankan tugas, katanya, sentiasa tertakluk kepada profesionalisme, etika dan tatacara siasatan yang ditetapkan di bawah undang-undang serta peraturan dalaman Suruhanjaya.
Sehubungan itu, SPRM menolak sekeras-kerasnya cubaan memanipulasi SOP keselamatan dan prosedur penguatkuasaan bagi membina naratif kononnya suruhanjaya itu cuba menyekat atau menghalang proses pengaduan.
SPRM menegaskan komitmen untuk melaksanakan tanggungjawab secara profesional, bebas dan berintegriti selaras dengan peruntukan undang-undang serta prinsip keadilan.








