PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disarankan agar menjalankan siasatan dengan penuh teliti dan menyeluruh supaya tidak membuka ruang kepada mana-mana pihak mempertikaikan kredibiliti agensi itu.
Dalam kenyataan media pada Khamis, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pegawai penyiasat perlu memastikan setiap pertuduhan kes ke mahkamah disokong dengan pemilihan akta yang tepat.
“Pegawai penyiasat juga diingatkan supaya membuat pemilihan akta yang tepat berdasarkan kesalahan yang diadukan bagi setiap pertuduhan kes ke mahkamah agar pendakwaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Kompleks SPRM Selangor pada Rabu, bagi meninjau perkembangan operasi, pengurusan serta usaha pencegahan rasuah di negeri itu.
Hasil lawatan tersebut, pengurusan SPRM Selangor bertekad untuk terus memperkasa aspek penguatkuasaan, pencegahan rasuah dan kebajikan warga kerja agar dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Dalam pada itu, Abd Halim turut berkata, pendidikan antirasuah perlu terus diperkasa khususnya dalam kalangan generasi muda melalui pelbagai aktiviti pendidikan dan kesedaran.
“Teruskan usaha menerapkan mesej antirasuah serta tingkatkan lagi aktiviti untuk mendidik kanak-kanak dan pelajar baik di peringkat sekolah mahupun di Institusi Pengajian Tinggi (IPT),” katanya.
Menyentuh mengenai kebajikan pegawai dan kakitangan, beliau mengingatkan pihak pengurusan agar sentiasa menjaga hubungan baik dengan warga kerja serta mengamalkan kepimpinan mesra bagi mewujudkan suasana kerja yang harmoni.
“Jangan ketepikan kebajikan pegawai dan kakitangan dan perlulah menjaga hubungan yang baik dengan mereka,” katanya.








