PETALING JAYA: SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, menuntut agar Datuk Seri Najib Tun Razak memulangkan semula RM42 juta yang didakwa disalahgunakan ketika beliau menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Dana tersebut, menurut peguam syarikat, Kwan Will Sen, sepatutnya digunakan untuk menjamin masa depan tenaga negara dan memberi manfaat kepada pesara perkhidmatan awam.
Sebaliknya, wang itu dikatakan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib sejak sedekad lalu.
“Tiga mahkamah termasuk Mahkamah Persekutuan telah mendapati beliau bersalah tanpa keraguan munasabah,” kata Kwan pada hari pertama perbicaraan kes saman sivil RM42 juta terhadap Najib di Mahkamah Tinggi, hari ini.
Beliau berkata, Najib ketika itu Menteri Kewangan, mempunyai kawalan penuh terhadap SRC International dan setiap transaksi besar tidak berlaku tanpa pengetahuan atau persetujuannya.
“Jejak wang ini jelas, dokumen lengkap dan pengakuan bersumpah beliau membuktikan kes ini.
“Atas apa jua asas tindakan sama ada penerimaan dengan pengetahuan, bantuan tidak jujur atau salah laku dalam jawatan awam, keadilan menuntut dana awam ini dikembalikan kepada rakyat,” tegas Kwan.
Menurutnya, bukti akan menunjukkan RM42 juta dipindahkan daripada SRC International ke akaun peribadi Najib.
Daripada jumlah itu, katanya, RM32 juta digunakan untuk membayar dua syarikat yang menampung kekurangan akaunnya, manakala baki RM10 juta dibelanjakan melalui cek peribadi.
Saksi pertama perbicaraan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Su Ling, 57, tampil memberi keterangan hari ini.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan akan bersambung pada 6 November depan.