SRG Tamat Kempen MSC x EWC 2025 Sebagai Naib Juara

RIYADH: Pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) kebanggaan negara, Selangor Red Giants (SRG), menamatkan kempen mereka di pentas MSC x EWC 2025 dengan penuh semangat apabila muncul sebagai naib juara selepas tewas kepada Team Liquid PH dari Filipina dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit.

SRG membuka tirai perlawanan akhir dengan kemenangan bergaya dalam gim pertama, mempamerkan strategi kemas dan koordinasi mantap yang menggambarkan kematangan mereka sebagai pasukan elit.

Namun, Team Liquid PH bangkit dengan intensiti luar biasa, memenangi empat gim berturut-turut untuk menamatkan siri dengan keputusan 4-1 dalam format ‘best-of-seven’.

Walaupun gagal membawa pulang trofi ke tanah air, SRG tetap mencuri perhatian dunia dengan prestasi konsisten sepanjang kejohanan.

Mereka menewaskan dua gergasi Asia Tenggara, iaitu RRQ Hoshi dari Indonesia dan ONIC PH dari Filipina yang masing-masing dalam perlawanan lima pusingan yang mendebarkan, sekali gus membuktikan bahawa Malaysia bukan sekadar pencabar tetapi kuasa besar yang semakin digeruni dalam arena MLBB antarabangsa.

Kejayaan SRG mara ke pentas akhir MSC x EWC bukan sahaja mencatat sejarah baharu buat e-sukan Malaysia, malah menjadi simbol kebanggaan nasional.

Sepanjang kejohanan, sokongan padu daripada peminat tempatan dan komuniti MLBB membanjiri media sosial, menjadikan SRG sebagai lambang semangat juang dan perpaduan.

Dengan pencapaian sebagai naib juara MSC dan kedudukan tertinggi Malaysia dalam EWC setakat ini, SRG pulang bukan sebagai pasukan yang tewas tetapi sebagai wira yang telah mengangkat nama negara ke persada dunia.

Anda Mungkin Berminat