Srikandi PKR Kecam Sikap Sanusi, Hanya Guna Rakyat Demi Politik Peribadi

PETALING JAYA: Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berikutan sokongannya terhadap satu himpunan awam yang dijadual berlangsung Sabtu ini, tanpa komitmen kehadiran yang jelas.

Ketua Srikandi PKR, Nurhidayah Che Rose, menyifatkan kenyataan Sanusi sebagai tidak bertanggungjawab dan mempergunakan rakyat demi agenda politik peribadi.

“Ini bukan sahaja memperlihatkan keangkuhan politik, malah menyerlahkan sikap pengecut pemimpin yang seharusnya mendahulukan rakyat, bukan kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau turut mendakwa Sanusi mempolitikkan inisiatif Kerajaan Persekutuan seperti penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter, pengurangan bil elektrik dan peluasan program SARA yang kesemuanya bertujuan meringankan beban rakyat.

Beliau mengingatkan bahawa Kerajaan Perpaduan sentiasa komited menyalurkan bantuan kepada negeri Kedah, walaupun ia ditadbir oleh pembangkang.

Kata Nurhidayah, antara peruntukan besar yang telah disalurkan termasuk RM723.7 juta untuk pembangunan Lembah Chuping dan RM132 juta bagi Kulim Hi-Tech Park.

“Sebagai pemimpin negeri, beliau (Sanusi) sepatutnya lebih matang dan bersikap terbuka dalam menerima langkah-langkah yang memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik,” tegasnya.

Beliau juga menyelar tindakan Sanusi yang didakwa menghasut rakyat menyertai perhimpunan yang tidak memberi sebarang faedah dan hanya menambah beban dari segi kewangan serta keselamatan.

Perhimpunan yang dinamakan ‘Turun Anwar’ itu dijangka menarik kehadiran kira-kira 15,000 orang di ibu negara pada 26 Julai ini.

Anda Mungkin Berminat