SARAWAK: Pelancaran Projek Sarawak–Sabah Link Road Fasa 2 (SSLR2) hari ini disifatkan sebagai detik bersejarah yang bakal membuka lembaran baharu pembangunan di pedalaman Borneo.
Laluan jalan raya moden itu dijangka menjadi nadi penghubung antara kawasan terpencil di Sarawak dan Sabah, sekali gus menjanjikan akses yang lebih selesa, selamat dan berdaya saing kepada penduduk setempat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek itu bukan sekadar infrastruktur fizikal tetapi simbol komitmen kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
“Detik bersejarah ini membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan penduduk pedalaman turut menikmati arus pembangunan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurutnya, SSLR2 akan merentasi kawasan berbukit dan sungai deras, menghubungkan Miri, Marudi, Mulu, Limbang dan Lawas iaitu daerah yang sebelum ini berdepan cabaran besar dari segi akses jalan darat.
Dengan pelaksanaan projek ini, Anwar berkata, limpahan kemajuan dijangka menyusul ke kawasan yang sekian lama menanti perubahan.
Majlis pelancaran turut disertai Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan kepimpinan persekutuan dan negeri, menandakan kerjasama erat antara dua lapisan pentadbiran.
Dalam majlis sama, Anwar turut mengumumkan kelulusan pembinaan sebuah Klinik Kesihatan Jenis 5 di Limbang yang dijangka dimulakan tahun ini.
Selain itu, beliau menyampaikan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada SMK Mendamit bagi kebajikan guru dan pelajar.
Beliau berkata, hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak dibina atas asas persahabatan dan saling percaya, bukan atas kepentingan peribadi mana-mana pihak.
“Segala ini adalah semangat Malaysia MADANI iaitu muafakat, kasih sayang dan keadilan untuk semua,” katanya.
Dalam ucapannya, Anwar turut menyifatkan Sarawak kini muncul sebagai gergasi tenaga baharu bertaraf dunia yang bukan sahaja memberi manfaat kepada negeri itu tetapi juga kepada seluruh Malaysia.