SSM Perkukuh Tadbir Urus Korporat Dengan 4 Inisiatif 2026

PETALING JAYA: Hari ini menandakan ulang tahun penubuhan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang ke-24 sejak ditubuhkan pada 16 April 2002.

Sejak awal, SSM komited melaksanakan mandatnya sebagai pendaftar dan pengawal selia korporat negara, berpaksikan visi ‘Untuk Menjadi Pendaftar dan Pengawal Selia Korporat Terulung’.

SSM menegaskan bahawa legasi kejayaan organisasi itu berpaksikan komitmen dan profesionalisme seluruh warganya dalam memperkukuh tadbir urus korporat negara seiring tuntutan zaman.

Bersempena ulang tahun kali ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, SSM memperkenalkan empat inisiatif utama bagi tahun 2026.

“Antara inisiatif tersebut ialah Klinik Pematuhan dan Kempen Pemulihan Serah Simpan Dokumen Statutori bagi membantu syarikat yang menghadapi kesukaran memenuhi kewajipan di bawah Akta Syarikat 2016.

“Melalui program ini, syarikat berpeluang melaksanakan tindakan pemulihan dokumen tertunggak dengan manfaat seperti pengecualian kompaun bagi kesalahan yang belum dikompaun serta pengurangan kompaun sehingga 98 peratus,” katanya.

Selain itu katanya, SSM meneruskan Skim 1 OKU 1 Perniagaan yang menyokong kelangsungan perniagaan usahawan OKU melalui pendaftaran dan pembaharuan perniagaan percuma setiap tahun.

Tambah beliau, Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) pula dilanjutkan daripada satu tahun kepada dua tahun, melibatkan usahawan kumpulan B40 serta pelajar sepenuh masa di IPTA, IPTS, politeknik, kolej dan pusat kemahiran.

Armizan berkata, SSM turut memperkenalkan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma Warga Emas (SPPWE) bermula 1 Jun 2026 yang bertujuan memberi peluang kepada warga emas menjana pendapatan melalui aktiviti keusahawanan, sekali gus membolehkan mereka terus aktif menyumbang kepada ekonomi negara.

Pada masa yang sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga SSM atas dedikasi dan khidmat bakti yang tidak pernah luntur.

“Semoga SSM terus unggul sebagai pendaftar dan pengawal selia korporat yang berwibawa dan progresif sekali gus memaknai agenda yang digariskan di bawah Kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.

Anda Mungkin Berminat