KUANTAN: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyalurkan agihan Wakalah Zakat Korporat dan peralatan perubatan bernilai keseluruhan RM390,550 melibatkan Masjid Kampung Sepat dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh.
Beliau berkata, melalui Projek Road to Jannah 3.0, SSM menyerahkan sebuah van jenazah bernilai RM128,500 kepada Masjid Kampung Sepat bagi memudahkan pengurusan fardu kifayah komuniti setempat.
“Ini kesinambungan projek terdahulu yang telah menyediakan 14 van jenazah di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain van jenazah, beliau berkata, masjid berkenaan turut menerima mesin pengorek mini bernilai RM42,500 dan sebuah kontena penyimpanan bernilai RM14,850 sebagai sokongan kepada pengurusan pengebumian.
Katanya, SSM juga menyalurkan RM5,000 untuk penyelenggaraan prasarana, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan kepada masjid sebanyak RM190,850.
Dalam majlis berasingan, SSM menyerahkan 22 unit peralatan perubatan bernilai RM199,700 kepada HTAA bagi meningkatkan kapasiti rawatan dan pemulihan pesakit.
“Sumbangan ini bagi menyokong keupayaan perkhidmatan kesihatan hospital,” kata Fuziah.
Menurut beliau, antara peralatan yang diserahkan termasuk 13 katil pesakit hidrolik, drip stand, lima troli pengangkutan, stetoskop, termometer digital serta beberapa peralatan kritikal seperti defibrilator, ‘ECG machine’ dan ‘bedside monitor’.
Fuziah berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan SSM dalam membantu keperluan masyarakat melalui agihan zakat korporat dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Inisiatif ini memastikan bantuan sampai kepada penerima yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober 2025, SSM telah mengagihkan lebih RM6.5 juta dana wakalah zakat kepada 11,131 penerima asnaf di seluruh negara.
Dalam tempoh sama, beliau berkata, lebih RM520,000 dana CSR turut disalurkan kepada 765 individu yang memerlukan.
Majlis penyerahan pada Jumaat di Kuantan disempurnakan oleh Fuziah, yang sekali lagi menegaskan iltizam SSM untuk terus memperkukuh kesejahteraan komuniti melalui pendekatan inklusif dan berterusan.








