PUTRAJAYA: Bagi memperkukuh kedudukan fiskal negara dan memperluas asas percukaian tanpa membebankan rakyat terbanyak, Kerajaan akan melaksanakan semakan kadar Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) serta peluasan skop percukaian bermula 1 Julai ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata penyesuaian kadar dan peluasan skop SST adalah sebahagian daripada pembaharuan fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI, dengan keutamaan kepada perlindungan barangan keperluan asas serta pengecualian cukai kepada golongan rentan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Antara langkah utama termasuk pelaksanaan Cukai Perkhidmatan (CP) sebanyak lapan peratus terhadap perkhidmatan kewangan berasaskan fi atau komisen, perkhidmatan kecantikan bernilai lebih RM500,000 setahun dan perkhidmatan sewaan atau pajakan yang melebihi ambang hasil RM500,000 setahun,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, kadar CP sebanyak enam peratus pula dikenakan terhadap kerja pembinaan dengan nilai ambang mencecah RM1.5 juta, yang bertujuan membantu kontraktor kecil dan sederhana.
Perkhidmatan jagaan kesihatan swasta pula akan dikenakan CP enam peratus khusus untuk bukan warganegara, manakala rakyat tempatan dikecualikan.

“Bagi sektor pendidikan, CP hanya dikenakan ke atas pendidikan swasta prasekolah, rendah dan menengah jika yuran tahunan melebihi RM60,000 seorang, manakala CP turut dikenakan ke atas pengajian tinggi bagi pelajar bukan warganegara. Pelajar tempatan dikecualikan sepenuhnya,” jelas beliau.
Sementara itu, bagi Cukai Jualan (CJ), kerajaan mengekalkan kadar sifar ke atas barangan keperluan asas. Kadar CJ sebanyak lima atau 10 peratus hanya dikenakan terhadap barangan pilihan dan bukan keperluan.

Pelbagai pengecualian turut disediakan termasuk CP bagi sewaan bangunan kediaman, bahan bacaan, pajakan kewangan, aset di luar negara serta transaksi perniagaan ke perniagaan (B2B). Kontrak yang tidak boleh disemak semula turut diberi pengecualian CP selama 12 bulan bagi mengelakkan cukai berganda.
Pengecualian juga diberikan kepada PMKS yang mencatat pendapatan kurang daripada RM500,000 setahun, serta perkhidmatan kewangan asas seperti perbankan asas dan pembiayaan syariah berasaskan faedah atau keuntungan.
Selain itu, pengecualian CP turut meliputi keuntungan pertukaran mata wang asing, caj punitif, kiriman wang ke luar negara, pasaran modal dan fasiliti eksport.
Dalam satu kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos. Sara Hidup (KPDN) berhubung keterangan SST kepada rakyat dan perniagaan serta penguatkuasaan jika berlaku pencatutan.
“Walaupun peluasan CP berkuatkuasa 1 Julai 2025, syarikat yang belum berdaftar tetapi menyediakan antara 6 jenis perkhidmatan tersebut, diberi masa sehingga Ogos untuk mendaftar dan mula mengutip CP bermula bulan September 2025,” jelas kenyataan itu lagi.
Baca juga: