SST: Kerajaan Terbuka Terima Teguran, Asalkan Berfakta – PM

PUTRAJAYA: Kerajaan sentiasa mengamalkan keterbukaan dalam menerima teguran berhubung sistem percukaian negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, beliau menuntut agar kritikan tersebut berlandaskan fakta yang tepat dan disampaikan melalui saluran yang betul.

Berucap dalam Majlis Perjumpaan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini, beliau berkata, kerajaan tidak menolak kritikan tetapi menolak sebarang bentuk fitnah dan maki hamun yang tidak membina.

“Kerajaan sentiasa mengamalkan keterbukaan dan sedia menerima sebarang teguran berhubung sistem percukaian tetapi ia perlu berlandaskan kepada fakta yang tepat,” katanya.

Pelaksanaan semula dan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 merupakan sebahagian daripada strategi fiskal kerajaan MADANI untuk memperkukuh kedudukan kewangan negara.

Di bawah semakan baharu ini, kadar cukai jualan disemak semula dan skop cukai perkhidmatan diperluas meliputi sektor seperti pembinaan, penjagaan kesihatan swasta untuk bukan warganegara dan perkhidmatan kecantikan.

Langkah itu turut disertai dengan pengecualian terhadap barangan asas seperti buah-buahan tertentu dan perkhidmatan penting seperti pendidikan tinggi serta penjagaan kesihatan untuk rakyat tempatan sebagai usaha kerajaan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Namun, pengumuman tersebut mencetuskan reaksi bercampur dalam kalangan masyarakat termasuk mahasiswa yang menyuarakan kebimbangan terhadap kesan kos tambahan.

Isu ini memuncak apabila tular insiden protes melibatkan pembakaran karikatur menyerupai wajah Perdana Menteri oleh sekumpulan pelajar universiti awam.

Mengulas perkara itu, Anwar menjelaskan bahawa universiti awam sebenarnya dikecualikan daripada pelarasan kadar elektrik dan kerajaan bersedia membetulkan sebarang ketidakadilan yang berlaku.

Beliau turut menyeru agar semua pihak termasuk mahasiswa agar menyuarakan pandangan secara intelektual dan bertanggungjawab, selaras dengan semangat demokrasi yang matang.

Anda Mungkin Berminat