SST Kukuh, Lonjak Struktur Ekonomi Negara – Penganalisis

Oleh: Nadhirah Akmam

PETALING JAYA: Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) disifatkan sebagai langkah penting dalam usaha kerajaan memperkukuh kedudukan kewangan negara.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal dan kadar hutang negara menerusi dasar kewangan yang lebih berdisiplin.

“Sebagai contoh, pada 1 Mac 2024, cukai perkhidmatan telah dinaikkan daripada 6 peratus kepada 8 peratus.

“Perkara ini menyebabkan kutipan cukai SST pada suku pertama tahun 2025 telah melonjak sebanyak 30.3 peratus,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit, hari ini.

Beliau berkata, hasil kutipan itu akan membuka ruang untuk perbelanjaan strategik negara seperti dalam sektor pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan keselamatan selaras dengan keperluan rakyat dan pembangunan jangka panjang negara.

Menurut Dr Afzanizam, semakan semula kadar SST yang bakal dilaksanakan bermula 1 Julai ini termasuk peluasan skop cukai perkhidmatan, merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan MADANI untuk merangsang pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.

“Penambahbaikan ini bukan sahaja menyumbang kepada kemampanan fiskal, malah bertujuan menyalurkan hasil negara ke arah manfaat yang lebih besar, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah,” tambahnya.

Beliau menyeru orang ramai agar melihat pelaksanaan SST dari sudut jangka panjang dengan fokus kepada manfaat yang akan diterima oleh rakyat secara keseluruhan.

Bermula 1 Julai 2025, cukai SST akan disemak semula melibatkan kadar cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan sebagai salah satu langkah strategik Kerajaan MADANI dalam usaha memperkukuh ekonomi negara.

Anda Mungkin Berminat