SST: Situasi ‘Menang-Menang’ Buat Rakyat, Peniaga dan Negara – Mahfuz Omar

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA:
Pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) oleh kerajaan disifatkan sebagai langkah strategik yang memberi manfaat kepada semua pihak termasuk kerajaan, peniaga, pengguna serta rakyat secara keseluruhan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar menyifatkan SST sebagai satu bentuk situasi menang-menang bagi semua lapisan masyarakat.

“Kita mahu memastikan supaya ketiga-tiga pihak iaitu rakyat, peniaga dan pengguna dapat mencapai kemenangan, iaitu situasi ‘menang-menang'” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit, hari ini.

Menolak persepsi sesetengah pihak bahawa SST dilaksana secara semberono, Mahfuz menegaskan keputusan itu adalah suatu keperluan dalam usaha menjana pendapatan negara secara berhemah demi menjamin kelangsungan kemudahan asas seperti kesihatan, pendidikan, infrastruktur dan kebajikan awam.

“Sesuatu (SST) yang dilaksanakan oleh kerajaan pada hari ini adalah dengan mengambil kira kepentingan negara dan juga rakyat,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa setiap kerajaan di dunia memerlukan sistem percukaian, namun pendekatan Kerajaan Madani terserlah menerusi kepekaan terhadap suara rakyat serta kesediaan untuk menilai dan menyesuaikan mekanisme berdasarkan maklum balas awam.

“Ini membuktikan kerajaan tidak bersikap autokratik.

“Bila rakyat bersuara, kerajaan mendengar dan bertindak. Ini bukti Kerajaan Madani mengambil pendekatan prihatin dan responsif,” katanya.

Mahfuz berkata, kerajaan juga tidak mengenakan cukai ke atas barang keperluan asas yang kerap dikonsumsi oleh rakyat, khususnya golongan B40.

Malah, katanya, langkah itu turut menggalakkan peralihan kepada produk tempatan yang sebahagiannya tidak dikenakan SST.

“Jadi kerajaan akhirnya mendengar rakyat dan mengeluarkan beberapa item buah-buahan itu daripada senarai SST.

“Ini bermaksud kerajaan sebenarnya berhasrat untuk meningkatkan pengeluaran produk-produk tempatan.

“Perubahan ini perlu dilihat secara positif, khususnya oleh golongan politik di luar sana,” tambah beliau.

Mengulas mengenai kebimbangan kenaikan harga barang susulan pelaksanaan SST, Mahfuz tampil meredakan keresahan itu dengan menjelaskan bahawa barangan asas tidak terkesan.

“Jadi kenapa kita harus takut, bimbang dengan kenaikan barangan yang tidak menyentuh soal kehidupan kita?

“Cukai yang dikenakan itu hanyalah kepada perkhidmatan seperti katering, barangan premium dan jentera industri, tidak membabitkan barang asas keperluan yang digunakan secara majoriti,” jelas beliau.

Untuk info, antara barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukai jualan sebanyak 5 peratus bermula 1 Julai 2025 termasuk ‘king crab’, salmon, ikan kod, cendawan truffle, buah-buahan import, essential oil, kain sutera dan jentera industri.

Sebaliknya, barang keperluan asas harian seperti ayam, daging lembu dan kambing, ikan, udang, sotong, sayur-sayuran, buah-buahan tempatan, beras, bijirin, tepung, makanan asas lain, susu, ubat, buku, serta makanan haiwan dikecualikan daripada SST.

Selain itu, bahan asas pembinaan seperti simen, batu, pasir serta input sektor pertanian termasuk baja, racun, jentera dan peralatan penternakan turut kekal dengan kadar sifar.

Anda Mungkin Berminat