Stadium Nasional, Putra Kini Dikenali TM Stadium Nasional Dan Unifi Arena

PETALING JAYA: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengumumkan kerjasama hak penamaan bersama Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi dua venue sukan utama negara iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Putra Bukit Jalil untuk tempoh tiga tahun.

Melalui kerjasama itu, kedua-dua stadium dijenamakan semula berkuat kuasa 6 Mac 2026 dengan Stadium Nasional dikenali sebagai TM Stadium Nasional, manakala Stadium Putra pula dinamakan Unifi Arena.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil menegaskan pihaknya komited memastikan kemudahan stadium sentiasa berada pada tahap terbaik demi keselesaan rakyat Malaysia.

“Hasil daripada kerjasama ini akan digunakan untuk menaik taraf dan menambah baik kemudahan stadium supaya pengunjung dapat menikmati pengalaman yang lebih selesa dan berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kerjasama hak penamaan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif PSM untuk memperkukuh kelestarian operasi serta pembangunan jangka panjang kedua-dua venue berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, pihaknya berbesar hati diberi kepercayaan untuk memegang hak penamaan bagi venue nasional yang ikonik itu.

Menurutnya, kedua-dua stadium telah lama menjadi lokasi penting rakyat Malaysia berkumpul bagi menyokong atlet, meraikan kejayaan serta menyaksikan pelbagai detik bersejarah negara.

“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat terus memperkukuh peranan stadium ini sebagai tempat yang menyatukan masyarakat dan menyemarakkan semangat kebanggaan negara untuk generasi akan datang,” katanya.

Anda Mungkin Berminat