PETALING JAYA: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan kejayaan rundingan penurunan tarif eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) daripada 25 peratus kepada 19 peratus tidak melibatkan sebarang pengorbanan terhadap prinsip asas negara, khususnya berkaitan standard halal.
Menurutnya, pencapaian itu merupakan kejayaan diplomasi ekonomi yang bersejarah kerana membuka lebih banyak peluang perdagangan tanpa menggadaikan nilai dan kepercayaan yang selama ini dipegang teguh oleh Malaysia.
“25 ke 19 peratus itu bukan sekadar angka. Itu kejayaan rundingan bersejarah antara Malaysia dan Amerika Syarikat. Tapi apakah harga yang perlu dibayar? Adakah standard halal kita disentuh? Alhamdulillah tidak,” katanya dalam satu kenyataan.
Tengku Zafrul menegaskan, kerajaan berpegang teguh pada prinsip bahawa sebarang pengimportan daging halal tetap tertakluk kepada pematuhan piawaian syariah sedia ada, dan tidak akan berganjak daripada pendirian itu.
“Pematuhan syariah adalah prasyarat terhadap import daging halal dari semua negara, termasuk Amerika Syarikat. Kita hanya mempercepatkan proses. Amerika tetap perlu patuhi standard halal Malaysia,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, langkah yang dipersetujui dengan Amerika Syarikat untuk memperkemas proses pengesahan halal secara efisien menerusi penglibatan badan pengesahan halal AS yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Apa yang kita setuju hanyalah untuk memudah cara proses import daging halal dari Amerika melalui badan sah AS yang diiktiraf JAKIM. Piawaian tetap sama, cuma lebih cepat dan telus,”
“Malaysia untung, Amerika Syarikat untung, dan yang paling penting, standard halal kita kekal terpelihara. Kita buktikan bahawa prinsip boleh seiring dengan kemajuan,” katanya.
Baca juga: