PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI terus memperkukuh komitmen terhadap reformasi perkhidmatan awam menerusi Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Refor8masi Agensi (STAR) Bilangan 8 Tahun 2025 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, pada Isnin.
Dalam ucapan pembukaannya, Shamsul Azri berkata, Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) kini memasuki fasa penting yang menuntut hasil nyata dan berimpak langsung kepada rakyat.
“Kejayaan tidak lagi diukur pada pelancaran inisiatif tetapi hasil nyata yang memberi manfaat langsung kepada rakyat,” katanya.
Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada status semasa pelaksanaan projek STAR termasuk cadangan pelaksanaan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) oleh Institut Integriti Malaysia, serta laporan Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) bagi Suku Kedua 2025 yang dibentangkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.
Persediaan menghadapi Monsun Timur Laut 2025/2026 turut menjadi agenda utama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air membentangkan keperluan koordinasi rentas agensi bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi bencana.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah pertandingan fotografi dan kapsyen Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) sempena MAPPA 2025 yang menyaksikan Nor Suhaida Juhari dari CUEPACS dinobatkan sebagai juara.
Sebagai pengiktirafan terhadap usaha reformasi, lima kementerian menerima sijil penghargaan atas kejayaan melaksanakan projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).
Antara yang menonjol, Kementerian Pertahanan berjaya mempercepat pengurusan aduan integriti daripada 21 hari kepada hanya satu hari, sekali gus menjimatkan lebih RM800,000 setahun.
Mesyuarat turut menegaskan bahawa STAR akan terus menumpukan kepada agenda produktiviti, tatakelola baik dan penyelesaian isu struktural yang menghalang keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.
Diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) bersama Pejabat KSN, Unit Pantau MADANI (PMU) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), STAR menjadi platform penting dalam memastikan reformasi kerajaan dilaksanakan secara cekap, telus dan responsif terhadap keperluan rakyat.








