Status halal juadah buka puasa: Perlu teliti atau sekadar ikut tular?


Oleh: Aliyaa Azmi
MENYEBUT juadah berbuka puasa, sudah tentu ramai umat Islam teruja untuk menikmati pelbagai makanan yang dijual di bazar Ramadan atau mencuba makanan tular seperti diuar-uarkan.

Baru-baru ini, satu perdebatan di media sosial tercetus berkenaan status halal mi segera jenama terkenal yang dijual oleh peniaga bukan Islam.

Ada yang mempertikaikan adakah makanan yang dimasak oleh bukan Muslim boleh dimakan oleh orang Islam, selain menyoal keperluan untuk menyelidik sumber bahan yang digunakan.

Bercakap kepada Malaysia Bangkit, Dr. Norhidayah Pauzi yang juga Pensyarah Kanan dari Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya menjelaskan status halal sesuatu makanan bukan hanya bergantung kepada logo halal semata-mata, tetapi juga perlu melihat kepada bahan yang digunakan.

Bukan Sekadar Logo Halal

Menurut Dr. Norhidayah, sebagai pengguna, kita harus bijak mengenal pasti bahan-bahan dalam makanan dan mengelakkan bahan yang meragukan seperti gelatin dan perisa yang tidak jelas sumbernya.

Sekiranya sesuatu produk mempunyai pengesahan halal, maka ia diyakini halal tanpa syubhah. Namun, jika tiada pengesahan halal, pengguna disarankan untuk meneliti bahan yang digunakan.

Jika terdapat keraguan yang kuat, seperti makanan tersebut diproses di kilang yang meragukan atau diyakini tidak halal, maka lebih baik dielakkan berdasarkan prinsip Sadd al-Zari’ah, iaitu menutup jalan kepada perkara haram.

Sebaliknya, jika keraguan hanyalah berdasarkan spekulasi tanpa bukti yang jelas, maka makanan tersebut dibolehkan untuk dimakan. Namun, lebih baik memilih alternatif yang lebih diyakini halal.

Dr. Norhidayah turut mengingatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada sesuatu yang tidak meragukanmu kerana kebenaran itu membawa ketenangan dan kebohongan itu membawa keraguan.” (Hadis Riwayat Tirmizi – Sahih)

Dalam sejarah para salafus soleh, mereka lebih cenderung untuk meninggalkan perkara yang meragukan dan hanya mengambil makanan yang jelas status halalnya kerana mengutamakan kewajipan sebagai seorang Muslim.

Makanan Dimasak oleh Non-Muslim: Apa Hukumnya?

Satu lagi persoalan yang sering timbul ialah adakah makanan yang dimasak oleh bukan Muslim boleh dimakan oleh umat Islam?

Dr. Norhidayah menjelaskan bahawa selagi makanan tersebut halal dan tidak bercampur dengan unsur haram seperti babi, arak, atau bangkai, maka ia boleh dimakan.

Bagaimanapun, haiwan yang disembelih oleh bukan Muslim tidak boleh dimakan oleh umat Islam.

Beliau turut merujuk kepada pandangan ulama bahawa makanan yang disediakan oleh bukan Muslim, selain daripada sembelihan, tidak menjadi isu dan boleh dimakan tanpa keraguan.

Nasihat Kepada Umat Islam

Dr. Norhidayah menasihatkan agar umat Islam mengutamakan makanan yang jelas status halalnya, terutama yang mendapat pensijilan halal JAKIM.

Beliau turut menekankan kepentingan konsep halalan toyyiban, iaitu bukan sahaja halal, tetapi juga baik dan bersih untuk kesihatan.

Selain itu, Dr Norhidayah mengingatkan agar pengguna tidak mudah terpengaruh dengan makanan yang tular tanpa menyelidik statusnya terlebih dahulu.

Tambahnya, sebagai seorang muslim, mendalami ilmu halal bukan sekadar pengetahuan biasa, tetapi juga satu nilai tambah dalam kehidupan seharian, lebih-lebih lagi dalam era makanan yang semakin pelbagai dan kompleks.

Di bulan Ramadan, muslim disaran untuk lebih berhati-hati dalam memilih makanan, sama ada di bazar Ramadan mahupun gerai tepi jalan, agar ibadah puasa lebih diberkati dan terpelihara daripada unsur syubhah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat