Stesen Jana Kuasa Pulau Indah Beroperasi, Jana RM1.6 Bilion Tahun Depan

SHAH ALAM: Stesen Jana Kuasa Pulau Indah (PIPP) di Klang yang dibina sejak empat tahun lalu kini telah beroperasi secara komersial bermula 1 Mac lepas, dengan jangkaan pendapatan sebanyak RM1.6 bilion pada tahun hadapan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata kejayaan itu adalah hasil kerja keras dan dedikasi pasukan PIPP serta Worldwide Holdings Berhad (WHB), yang merupakan pemaju utama projek berkenaan dengan kerjasama Korea Electric Power Corporation (KEPCO).

“Tepat jam 12 tengah malam pada 1 Mac 2025, PIPP secara rasmi memasuki fasa operasi komersial. Tahniah kepada pasukan PIPP dan WHB atas kerja keras sepanjang empat tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook semalam.

Projek stesen jana kuasa berkapasiti 1,200 megawatt (MW) itu melibatkan kos pembangunan sebanyak RM3.3 bilion dan menggunakan teknologi turbin gas yang lebih cekap serta mesra alam.

Ia dibangunkan bagi menampung permintaan tenaga elektrik yang semakin meningkat di Lembah Klang.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa tenaga berkarbon rendah yang dihasilkan oleh PIPP akan disalurkan ke wilayah tengah Semenanjung Malaysia, termasuk Klang, Sepang, dan Kuala Langat, yang mempunyai keperluan tenaga tinggi.

Projek itu dijangka memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan bekalan tenaga di kawasan berkenaan.

Dengan beroperasinya PIPP, Selangor kini bersedia menerajui masa depan tenaga yang lebih mampan dan cekap, seiring dengan komitmen negeri ke arah pembangunan lestari.

“Semoga kejayaan ini membawa lebih banyak manfaat untuk negeri dan rakyat,” tambah Amirudin.

Anda Mungkin Berminat