Stesen pam Kemubu hidup semula, pesawah Kelantan berterima kasih kepada PMX

Oleh: Tyah Helmi

KOTA BHARU: Satu video menunjukkan stesen pam di daerah dekat sini mengeluarkan limpahan air banyak yang memberi sumber air secara terus ke kawasan sawah Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) tular di media sosial.

Pengguna Facebook, Tengku Adam menyatakan stesen pam tersebut memberi 1,001 rahmah buat para pesawah berdekatan.

“Penantian hampir 20 tahun berakhir, terima kasih Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas jasa mu kepada pesawah sangat kami hargai.

“Kemanisan untuk pesawah tiga jajahan utama iaitu Kota Bharu, Bachok, Pasir Putih,” katanya pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat lebih 7,000 pesawah Kelantan terpaksa menghadapi masalah bekalan air bagi mengusahakan sawah mereka sejak 17 tahun lalu sehingga terpaksa menanggung kerugian,

Ekoran itu, kerugian yang dialami turut menyebabkan ada dalam kalangan pesawah terpaksa menjual harta benda termasuk barang kemas, mesin padi serta binatang ternakan, namun mereka tetap mengusahakan padi kerana mendakwa hanya itu kemahiran yang dimiliki dan menjadi sumber pendapatan.

Pada bulan Januari lalu, Pengerusi KADA, Khalid Abdul Samad memaklumkan bahawa Stesen Pam tersebut dijangka dapat berfungsi sepenuhnya pada awal tahun 2026.

Katanya, ujian awal yang dijalankan terhadap dua daripada lapan pam tersebut berjalan lancar seperti yang dirancang.

Khalid memberitahu, Stesen Pam Kemubu 1 masih menggunakan sistem lama yang memerlukan ketinggian paras air minimum 4.9 meter untuk berfungsi yang sukar dicapai dalam keadaan iklim semasa ketika ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat