STR dan SARA diteruskan, Kerajaan terus komited ringankan beban hidup rakyat

PETALING JAYA: Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan diteruskan sebagai inisiatif Kerajaan untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program Payung Rahmah turut diperkasa melalui pelaksanaan Jualan Rahmah, Menu dan Kafe Rahmah serta Bakul Rahmah, bagi memastikan rakyat terus mendapat akses kepada makanan berpatutan.

“Pemantauan dan kawalan harga makanan juga akan ditingkatkan bagi memastikan ketelusan harga sepanjang rantaian bekalan.”, katanya semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak 17 bentuk bantuan disediakan untuk pelajar dari peringkat prasekolah hingga menengah agar mereka tidak tercicir daripada akses makanan sihat dan berkhasiat, antaranya Bantuan Makanan Asrama, Rancangan Makanan Tambahan, Bantuan Awal Persekolahan dan Biasiswa Persekolahan.

Kerajaan turut berusaha mengurangkan beban bil utiliti kediaman rakyat, termasuk melalui pelaksanaan kaedah penggunaan waktu tertentu atau “Time-of-Use” (ToU) oleh Tenaga Nasional Berhad.

Selain itu, Pakej Rahmah bagi perkhidmatan internet, insurans dan takaful mampu milik akan diteruskan demi memastikan perlindungan asas tersedia untuk semua lapisan masyarakat.

Anwar memulakan pembentangan RMK-13 di Dewan Rakyat hari ini bagi menggariskan hala tuju pembangunan negara sepanjang tempoh pelaksanaannya, sejajar dengan tema Melakar Semula Pembangunan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat