STR Fasa 2: 200,000 Penerima Baharu Dilulus, Bayaran Bermula Hari Ini

KUALA LUMPUR: Seramai 200,000 penerima baharu diluluskan untuk menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2, yang mula disalurkan hari ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, penambahan penerima itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan bantuan sampai kepada lebih ramai golongan memerlukan.

“Bantuan telah disalurkan mulai hari ini (Isnin) kepada penerima yang layak termasuk 200,000 penerima baharu yang diluluskan bagi STR Fasa 2,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Menurut kementerian, inisiatif itu dilaksanakan bagi membantu rakyat berdepan cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Kerajaan MADANI sentiasa memastikan bantuan sampai kepada lebih ramai rakyat yang memerlukan khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang mencabar,” katanya.

Kementerian berharap bantuan tersebut dapat meringankan beban penerima serta memberi kelegaan kepada mereka dan keluarga masing-masing.

Orang ramai turut digalakkan untuk menyemak dan mengemas kini status kelayakan melalui portal rasmi STR bagi memastikan tidak terlepas daripada menerima bantuan yang disediakan kerajaan.

Anda Mungkin Berminat