STR Fasa 2 mula dikreditkan esok

KUALA LUMPUR: Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 akan diawalkan dan mula dikreditkan secara berperingkat mulai esok, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata pembayaran itu akan memanfaatkan kira-kira 5.2 juta penerima, khususnya bagi membantu rakyat membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, jumlah penerima bagi STR Fasa 2 meningkat kepada 5.2 juta dengan peruntukan RM1.3 bilion berbanding RM1.1 bilion kepada lima juta penerima pada Fasa 1 sebelum ini.

“Ini termasuk 200,000 penerima baharu yang diluluskan dan mereka akan menerima bayaran mulai 30 Mac 2026,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri di Putrajaya, pada Isnin.

Anwar berkata secara keseluruhan bantuan STR Fasa 2 akan memanfaatkan 3.8 juta isi rumah serta 1.4 juta warga emas tiada pasangan dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM600 mengikut kategori kelayakan.

Beliau berkata peluasan penerima bagi fasa itu membolehkan lebih ramai rakyat menikmati manfaat bantuan sosial kerajaan, terutama ketika negara menghampiri Aidilfitri.

“Melalui STR, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta SARA Untuk Semua, kerajaan terus berusaha memastikan hasil negara dapat dikongsi dan dimanfaatkan oleh rakyat, khususnya golongan yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kewangan Malaysia memaklumkan bagi tahun 2026, peruntukan keseluruhan STR dan SARA berjumlah RM15 bilion, kekal sebagai yang tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut serta soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi STR, selain diingatkan supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan serta hanya merujuk kepada portal rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat