PETALING JAYA: Kerajaan MADANI terus memperkukuh pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi memastikan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana dapat memenuhi keperluan asas dengan lebih terjamin.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu hantaran di Facebook berkata, reformasi fiskal yang dilaksanakan bukan sekadar mengurangkan hutang negara, sebaliknya memastikan hasil negara diagihkan secara lebih adil kepada seluruh lapisan masyarakat.
“Berbanding program bantuan tunai sebelum ini, STR kini ditambah baik secara menyeluruh.
“Jumlah maksimum bantuan meningkat daripada RM1,200 pada 2018 kepada RM2,500 pada tahun ini.
“Penyaluran juga dibuat secara suku tahunan, memberi penerima sokongan kewangan yang lebih konsisten sepanjang tahun,” katanya.
Lebih penting MOF berkata, jaringan pemanfaatan STR kini meliputi hampir sembilan juta rakyat Malaysia setiap tahun, berbanding hanya 7.2 juta penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2018.
SARA pula diperkenalkan dengan sistem penyaluran menggunakan MyKad, membolehkan penerima membeli barangan asas tanpa memerlukan peranti atau aplikasi tambahan.
Menurut MOF, pendekatan itu terbukti berkesan apabila hampir semua negeri mencatat kadar penggunaan antara 95 hingga 100 peratus setiap bulan.
Malah katanya, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Labuan mencapai penggunaan penuh.
Untuk info, STR dan SARA merupakan inisiatif utama Kerajaan MADANI di bawah Kementerian Kewangan dengan matlamat meringankan kos sara hidup serta memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara seiring agenda Malaysia MADANI.








