LANGKAWI: Pelaksanaan Op TIRIS menunjukkan impak positif apabila jualan petrol RON95 di stesen minyak berhampiran sempadan mencatat penurunan sebanyak 20 peratus dalam tempoh lapan hari pemantauan bermula 13 hingga 21 April.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkembangan itu membuktikan keberkesanan langkah penguatkuasaan kerajaan dalam membendung kebocoran subsidi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, penempatan anggota polis di stesen minyak kawasan sempadan telah membantu mengurangkan penyalahgunaan, sekali gus menunjukkan penurunan jualan RON95, manakala permintaan bagi RON97 meningkat.
“Penurunan 20 peratus ini jelas menunjukkan sebelum ini berlaku ketirisan subsidi RON95 yang kini berjaya dikawal,” katanya ketika lawatan kerja dan pemantauan operasi kawalan sempadan Malaysia-Thailand di sini, Sabtu.
Beliau berkata, Op TIRIS dilaksanakan susulan ketidaktentuan ekonomi global termasuk konflik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan bekalan serta harga bahan api.
Tambahnya, kementerian kini memperluas pemantauan dengan menempatkan anggota di 91 stesen minyak berisiko tinggi di kawasan sempadan seluruh negara bagi mengekang penyeludupan dan ketirisan subsidi.
Di Kedah sahaja, dari Januari hingga 22 April lalu, sebanyak 58 kes direkodkan menerusi Op TIRIS membabitkan rampasan pelbagai komoditi berjumlah 33,586 unit dengan nilai keseluruhan RM121,945.45.
Menurut Saifuddin, diesel kekal menjadi sasaran utama sindiket dengan nilai rampasan mencecah RM101,676.20, diikuti petrol RM10,561.54 serta barangan lain seperti minyak masak, gas petroleum cecair (LPG), gula dan tepung gandum.
Beliau turut mendedahkan taktik sindiket yang menyalahgunakan kemudahan kad armada (fleet card) untuk membeli diesel bersubsidi sebelum menjualnya kepada pihak lain pada harga lebih tinggi.
“Kegiatan ini berjaya dipatahkan hasil risikan polis dan kes telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Dalam Negeri terus memperkukuh kawalan keselamatan di Langkawi melalui penggunaan radar pengesanan, pemantauan udara, rondaan laut serta perkongsian risikan antara agensi.
Beliau menegaskan, kedudukan Langkawi yang strategik berhampiran sempadan Malaysia-Thailand menjadikannya kawasan penting dari segi keselamatan dan ekonomi negara.
Sehubungan itu, pos kawalan strategik turut diwujudkan di Teluk Ewa sejak Januari lalu bagi mempertingkat pemantauan terhadap aktiviti penyeludupan, pendaratan pendatang tanpa izin serta sebarang ancaman keselamatan.
“Semua aset di bawah KDN digerakkan termasuk polis, Pasukan Gerakan Am, Polis Marin, Maritim dan RELA bagi memastikan sempadan negara sentiasa terkawal,” katanya.
Baca juga:







