Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang telah berjaya membuat tangkapan ke atas sepasang suami isteri warga tempatan disyaki menyembunyikan dadah jenis syabu di Putatan, Penampang, Sabah pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintenden Erwansyah Abdul Basir berkata, hasil daripada tangkapan pertama iaitu seorang lelaki, 41 tahun telah berjaya membawa kepada tangkapan kedua.
“Tangkapan kedua berjaya memberkas seorang wanita berusia 34 tahun dan turut menjumpai satu peket plastik lutsinar yang telah disembunyikan berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 466.07 gram.
“Dalam pada itu, hasil pemeriksaan ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC),” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 15 kali serta turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Justeru itu, pihak polis menyarankan masyarakat supaya tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan terus menjadi mata serta telinga polis dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras gejala dadah.
Terdahulu, seorang lelaki warga asing ditahan bersama dadah seberat 50.15 gram di sebuah bilik sewa di Jalan Tunku Osman, Sibu, Sarawak pada 5 Mei 2024.
Susulan itu, suspek ditahan bersama dadah jenis syabu bernilai lebih RM5,000 dalam serbuan berkenaan.
Baca juga: