Suami Isteri Maut, Kereta Terbabas Di Batu Pahat

BATU PAHAT: Sepasang suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 128.3, Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara), berhampiran Yong Peng, Batu Pahat, Johor semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, kemalangan berlaku kira-kira jam 6.30 pagi melibatkan sebuah kereta dan kenderaan sport utility (SUV).

Katanya, mangsa Mohamad Shahrul Nizam Mohd Ali, 24, dan isterinya Norshuhada Kartika Razak, 23, meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dinaiki pasangan itu hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh penghadang besi jalan hingga berpusing serta melintang di tengah jalan.

“Kenderaan utiliti sukan (SUV) yang berada di belakang juga dalam arah sama, tidak sempat mengelak dan terus melanggar kereta tersebut hingga mengakibatkan suami isteri yang berada dalam kereta mengalami kecederaan parah di kepala.

“Manakala pemandu SUV berusia 50 tahun mengalami kecederaan di bahagian dada dan kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Shahrulanuar Mushaddat berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika memandu, terutamanya di lebuh raya bagi mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat