KAJANG: Pasangan warga emas yang disyaki terlibat dalam kes langgar lari seorang pemandu lori di Bandar Teknologi Kajang telah ditahan polis.
Kedua-dua individu, berusia 73 dan 65 tahun itu ditahan pada pukul 11.15 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada ibu mangsa, 63, pada pukul 4.54 petang semalam.
“Laporan mendakwa anak lelakinya yang berusia 42 tahun telah dilanggar oleh sebuah kenderaan sehingga menyebabkan kecederaan dan ketidakupayaan untuk bergerak.
“Mangsa kemudian dibawa ke hospital oleh ibunya untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan polis mendapati terdapat rakaman video papan pemuka kenderaan awam yang menunjukkan kejadian tersebut.
Naazron berkata, di mana sebuah kenderaan dengan sengaja melanggar mangsa yang turun dari lori sehingga diseret ke tengah pembahagi jalan sebelum kenderaan suspek beredar.
Oleh itu, katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Hizwan Hamzah di talian 019-6369835 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.