Suami Pamela Ling Diberkas

PETALING JAYA: Polis telah menahan suami kepada Datin Seri Pamela Ling Yueh, wanita yang dilaporkan hilang secara misteri pada 9 April lalu, pada Khamis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, mengesahkan lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan di ibu kota awal pagi tadi.

“Individu yang merupakan suami kepada wanita terbabit ditangkap di Kuala Lumpur pada awal pagi tadi.

“Permohonan reman terhadap suspek dibuat di Putrajaya, namun permohonan tersebut telah ditolak,” katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Khamis.

Beliau bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai tangkapan itu kerana siasatan masih dijalankan.

Pada 17 April lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memaklumkan siasatan turut menjurus kepada kemungkinan suami mangsa antara individu yang terbabit dalam kes berkenaan.

“Kita sedang menyiasat sama ada suami mangsa terbabit secara langsung atau sebaliknya. Siasatan ketika ini masih berjalan dan kita tidak menolak sebarang kemungkinan,” kata Razarudin.

Pamela, 52, dilaporkan hilang selepas menaiki sebuah kereta e-hailing dari kediamannya di Kota Damansara ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada pagi 9 April lalu.

Pemandu e-hailing terbabit kemudian membuat laporan polis, mendakwa wanita itu ‘dibawa pergi’ oleh tiga individu didakwa menyamar sebagai anggota polis sejurus kenderaan mereka tiba berhampiran bangunan SPRM.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta pengecaman nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan penculik mendedahkan kenderaan itu adalah palsu dan digunakan secara terancang, dipercayai untuk mengaburi siasatan.

Pamela yang juga pengarah beberapa syarikat berkaitan tanah dan hartanah, dikatakan mempunyai maklumat penting berkait transaksi besar yang sedang disiasat pihak berkuasa. Sehingga kini, mangsa masih belum ditemui.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat