Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) hari ini menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk segera membuat laporan polis terhadap beberapa pegawai penjara yang didakwa berulang kali memberikan keterangan palsu dalam inkuiri berhubung dakwaan penderaan terhadap tahanan.
Dalam satu kenyataan, SUARAM menyatakan kebimbangan terhadap pola keterangan yang mengelirukan dan tidak jujur khususnya melibatkan kakitangan Penjara Taiping yang telah tampil memberi kenyataan bersumpah.
Menurut SUARAM, ramai pegawai memulakan keterangan mereka dengan penafian terlibat dalam sebarang tindakan memukul atau menendang tahanan.
“Apabila rakaman ditayangkan, hanya sebahagian pegawai yang akhirnya mengakui perbuatan mereka, setelah berulang kali diingatkan oleh panel inkuiri bahawa mereka berada di bawah sumpah.
“Pegawai penjara yang lain juga berterusan meremehkan perbuatan mereka dengan menggunakan istilah berlapik-lapik seperti ‘sentuh’ atau dengan memberi alasan niat seperti menakut-nakutkan,” katanya.
SUARAM turut mendakwa bahawa terdapat pegawai yang bukan kali pertama memberi keterangan palsu.
Pada Mac lalu, katanya, beberapa individu dipercayai telah menafikan penglibatan mereka dalam kenyataan bersumpah kepada SUHAKAM, meskipun wujud bukti bercanggah.
Dalam prosiding pada 5 Ogos, peguam keluarga tahanan, Shashi Devan turut menggesa SUHAKAM agar tidak menangguhkan tindakan terhadap saksi yang didapati memberi keterangan palsu.
“Beliau menegaskan bahawa menangguhkan tindakan sehingga inkuiri selesai akan memberikan isyarat yang salah kepada saksi yang masih belum memberi keterangan. SUARAM bersetuju,” ujarnya.
SUARAM berkata, pelanggaran sumpah secara berulang kali tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa tindakan tegas.
Keterangan yang tidak jujur, katanya, berisiko menutup butiran penting yang tidak dapat dilihat dalam rakaman CCTV terutamanya kerana rakaman tersebut tidak mempunyai audio.
“Butiran seperti ini penting untuk membolehkan SUHAKAM mendapatkan gambaran penuh berhubung kejadian, dinamik institusi dan punca asas yang diperlukan bagi menghasilkan dapatan yang berwibawa serta cadangan pembaharuan yang berkesan,” tegasnya.
SUARAM turut memberi amaran bahawa kegagalan SUHAKAM untuk bertindak segera walaupun bukti keterangan palsu telah terdedah, boleh menjejaskan kredibiliti inkuiri serta integriti institusi itu sendiri.
Malah katanya, gejala ini secara tidak langsung bakal menjejaskan kebebasan, keberkesanan serta integriti mandat SUHAKAM sebagai institusi hak asasi manusia kebangsaan yang berstatus gred A.
“Jikalau SUHAKAM mahu memainkan peranan serius dalam memastikan pihak berkuasa penguatkuasaan bertanggungjawab, ia mesti menunjukkan bahawa prosesnya tidak boleh dimanipulasi.
“Penangguhan tindakan hanya akan menghantar isyarat yang salah mengenai toleransi institusi terhadap keterangan palsu di bawah sumpah dan melemahkan keyakinan awam terhadap hasil inkuiri tersebut,” tambahnya.