PETALING JAYA: Ketegangan geopolitik di Asia Barat yang berlarutan sejak penghujung Februari telah melonjakkan harga minyak mentah global melebihi AS$100 setong.
Namun, Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk melindungi rakyat daripada kesan kenaikan mendadak ini dengan mengekalkan subsidi bersasar bagi bahan api utama.
Dalam kenyataan rasmi, Kementerian Kewangan berkata, walaupun Malaysia ialah negara pengeluar minyak, harga petrol domestik tetap bergantung kepada pasaran antarabangsa.
Justeru, kerajaan memilih untuk tidak memindahkan sepenuhnya beban kenaikan harga kepada rakyat.
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah dan bertanggungjawab dalam mengurus harga bahan api domestik susulan ketidaktentuan berterusan dalam pasaran minyak global,” menurut kenyataan itu.
Bermula 19 hingga 25 Mac 2026, harga runcit ditetapkan pada RM4.55 seliter bagi RON97, manakala RON95 tanpa subsidi kekal pada RM3.27 seliter.
Melalui skim BUDI95, rakyat yang layak masih dapat membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter.
Diesel pula ditetapkan pada RM4.72 seliter di Semenanjung, sementara Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
Langkah mengekalkan subsidi ini menelan belanja lebih RM3 bilion sebulan, namun dianggap penting untuk memastikan rakyat dapat menyambut Aidilfitri dengan lancar tanpa beban kos tambahan.
Lebih 400,000 kenderaan pengangkutan awam dan barangan darat turut dilindungi melalui skim subsidi bersasar seperti Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bagi menjamin kos logistik tidak melonjak mendadak.
Kerajaan juga menegaskan bahawa pemantauan dan penguatkuasaan akan terus diperkukuh bagi mengelakkan ketirisan serta penyeludupan rentas sempadan.
Dengan pendekatan ini, Malaysia kekal antara negara dengan harga bahan api lebih rendah di rantau ini, sekali gus menyokong kestabilan harga keseluruhan dalam ekonomi domestik.








