KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan sentimen permusuhan dan retorik diskriminasi yang disasarkan kepada komuniti Rohingya di Malaysia khususnya selepas sambutan Aidilfitri, baru-baru ini.
SUHAKAM dalam kenyataannya berkata, penyebaran komen berunsur penghinaan dan naratif kebencian terhadap pelarian Rohingya yang meraikan sambutan keagamaan ‘amat membimbangkan dan mencerminkan nilai kemanusiaan yang semakin buruk dalam kalangan masyarakat’.
“Ungkapan kebencian bukan sahaja menjelaskan peningkatan yang sering terjadi kepada pelbagai segmen masyarakat.
“Malah menjejaskan nilai ihsan, empati dan saling menghormati yang menjadi asas kepada nilai masyarakat Malaysia,” tegas kenyataan itu.
Suruhanjaya tersebut turut berkata, penderitaan manusia tidak boleh dinilai secara selektif.
“Genosid tetap genosid tanpa mengira di mana ia berlaku,” katanya sambil merujuk kepada kemusnahan dan kehilangan nyawa orang awam di Gaza serta penindasan berterusan terhadap masyarakat Rohingya di Myanmar.
SUHAKAM berkata, krisis Rohingya kekal sebagai antara cabaran kemanusiaan dan hak asasi manusia paling serius di rantau ini.
Penemuan badan-badan antarabangsa termasuk misi pencarian fakta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mendokumentasikan pelanggaran etika dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan terhadap komuniti itu.
“Pelarian Rohingya yang berada di Malaysia perlu diberi layanan yang adil serta dilindungi daripada diskriminasi dan kebencian,” tambah SUHAKAM, sambil menyeru rakyat Malaysia agar tidak terpengaruh dengan naratif kebencian yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan nilai kemanusiaan sejagat.
Sebagai anggota ASEAN, Malaysia menurut SUHAKAM harus terus menjunjung prinsip kemanusiaan tanpa diskriminasi dan dengan penghormatan terhadap maruah insan.
“Sebarang pertimbangan dasar berkaitan pengurusan pelarian hendaklah ditangani selaras dengan prinsip hak asasi manusia dan penghormatan terhadap maruah insan,” katanya.
SUHAKAM turut menegaskan solidariti bersama semua mangsa penganiayaan dan keganasan tanpa mengira kewarganegaraan, etnik, agama atau status undang-undang.
“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menolak kebencian dan sikap tidak berperikemanusiaan dalam apa jua bentuk serta memperkukuh komitmen bersama terhadap belas ihsan, keadilan dan perlindungan maruah manusia,” menurut kenyataan itu.








