Oleh: Aliyaa Azmi
PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa Jabatan Peguam Negara supaya segera meluluskan permohonan untuk mengadakan inkues berhubung beberapa kes kematian dalam tahanan termasuk melibatkan warga asing.
Pesuruhjaya SUHAKAM, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, meskipun siasatan awal telah dijalankan dengan kerjasama polis, imigresen dan Jabatan Penjara, keputusan rasmi hanya boleh diperoleh melalui proses inkues di mahkamah.
“Yang kita minta daripada Jabatan Peguam Negara ialah membuat inkues kematian.
“Hanya dengan inkues itulah baru ahli keluarga akan merasa nasib ahli keluarga mereka yang meninggal dunia itu telah pun dijaga,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Beliau menjelaskan bahawa tujuan SUHAKAM bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak tetapi untuk memastikan siasatan dilakukan secara bebas dan telus agar hak asasi tahanan terpelihara serta keluarga mangsa mendapat keadilan.
SUHAKAM turut mendedahkan bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas mengenai inkues kematian seorang warga Pakistan yang meninggal dunia di depot Imigresen Bukit Jalil.
“Kita telah pun menulis kepada Jabatan Peguam Negara untuk inquest itu dibuat dan kami belum mendapat sebarang respon,” jelasnya.
Menurut SUHAKAM, setiap kes kematian dalam tahanan perlu disiasat secara terperinci bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi institusi penguatkuasaan.
SUHAKAM menegaskan dalam beberapa kes sebelum ini, siasatan mereka telah mendedahkan kecuaian oleh agensi tertentu sekali gus memberi peluang kepada keluarga mangsa untuk membuat tuntutan sivil terhadap kerajaan.
“Kami tahu beberapa bulan lalu ada kes di mana kerajaan diperintahkan membayar pampasan.
“Jadi siasatan kami lebih kepada menerangkan fakta sebenar. Jika ada kecuaian, maka keluarga boleh buat tuntutan sivil,” tambahnya.
SUHAKAM menyeru agar semua agensi berkaitan memberi komitmen penuh dalam menangani isu kematian dalam tahanan untuk memastikan hak tahanan sentiasa dilindungi dan sistem keadilan negara terus diyakini rakyat.