PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan supaya menghentikan amalan merujuk kes rogol statutori kepada pihak berkuasa agama Islam kerana ia merupakan kesalahan jenayah serius yang perlu disiasat dan didakwa mengikut undang-undang jenayah negara.
Dalam satu kenyataan media pada Rabu, SUHAKAM berkata, rogol statutori terhadap kanak-kanak adalah kesalahan jenayah yang jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan dan tatacara jenayah, sekali gus menjadi tanggungjawab teras PDRM sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang utama negara.
“(SUHAKAM) memandang serius kenyataan Ketua Polis Kelantan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merujuk kes-kes rogol statutori kepada pihak berkuasa agama Islam.
“SUHAKAM menegaskan bahawa amalan sedemikian perlu dihentikan serta-merta.
“Di bawah Perlembagaan Persekutuan (PP), undang-undang jenayah dan tatacara jenayah terletak di bawah Senarai Persekutuan dan siasatan rogol sebagai suatu kesalahan jenayah adalah tanggungjawab teras dari segi perlembagaan dan statutori PDRM sebagai agensi penguatkuasaan undang-undang utama negara,” katanya.
SUHAKAM berkata, sebarang rujukan kes rogol statutori kepada pihak penguatkuasaan agama adalah tidak selaras dengan mandat undang-undang, malah berisiko menjejaskan keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.
“Selaras dengan mandatnya di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), SUHAKAM bertanggungjawab untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia serta menasihati kerajaan mengenai penyelarasan undang-undang, dasar dan amalan dengan jaminan perlembagaan serta piawaian hak asasi manusia antarabangsa,” katanya.
Dalam kenyataan itu, SUHAKAM turut mengingatkan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang berpihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dan mempunyai kewajipan untuk memastikan semua kanak-kanak dilindungi daripada eksploitasi dan penderaan seksual.
Kepentingan terbaik kanak-kanak, katanya, mesti menjadi pertimbangan utama dalam semua tindakan yang melibatkan mereka.
Oleh itu, SUHAKAM menekankan bahawa rogol statutori perlu ditangani sebagai kesalahan jenayah serius melalui proses undang-undang yang sah dengan pendekatan sensitif terhadap kanak-kanak serta mematuhi prinsip hak asasi.
SUHAKAM turut menegaskan bahawa pihaknya menghormati sepenuhnya kedudukan undang-undang Islam serta institusi agama dalam kerangka perundangan dan sosial Malaysia.
Namun, kebimbangan utama dalam isu ini ialah perlindungan dan kebajikan kanak-kanak yang mesti kekal sebagai keutamaan dalam pengendalian semua kes melibatkan kesalahan seksual.
Terdahulu, media melaporkan seorang remaja perempuan bawah umur yang terbabit dalam kes rogol melalui hubungan ‘suka sama suka’ di Kelantan akan dikenakan tindakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, langkah itu berkuat kuasa sejak Oktober lalu susulan titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang meminta PDRM bekerjasama dengan JAHEAIK bagi menangani isu berkenaan.
Justeru, SUHAKAM menekankan bahawa tindak balas terhadap kes melibatkan kanak-kanak mestilah mengutamakan perlindungan, pemulihan dan intervensi sosial yang sesuai, bukannya hukuman semata-mata.
“Kanak-kanak dalam sistem keadilan, termasuk dalam kes yang melibatkan hubungan rakan sebaya secara sukarela, tidak boleh dikenakan langkah-langkah yang mengabaikan status mereka sebagai pemegang hak di bawah CRC dan undang-undang domestik.
“Pendekatan yang hanya bergantung kepada hukuman mencerminkan kegagalan untuk mengiktiraf bahawa remaja merupakan kanak-kanak di sisi undang-undang,” katanya.








