Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa kerajaan untuk
segera melaksanakan ‘Diversion Policy’ bagi kanak-kanak yang melanggar undang-undang supaya bekerjasama dengan pihak berkepentingan seperti pihak polis, perkhidmatan kebajikan, sekolah dan badan kehakiman.
Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM, Dr Farah Nini Dusuki berkata, mekanisme ‘Diversion’ itu membolehkan kanak-kanak yang dituduh melakukan kesalahan kecil atau tanpa kekerasan dialihkan daripada sistem keadilan jenayah kepada program berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada pendidikan, kaunseling dan sokongan tingkah laku.
“Pendekatan ini bukan sahaja dapat mengurangkan risiko dikriminalisasi dan stigma sosial, malah mampu menangani isu asas seperti trauma, pengabaian atau kesihatan mental.
“Dasar sebegini bukan penafian terhadap pertanggungjawaban, tetapi peralihan kepada keadilan restoratif dan pemulihan yang terbukti lebih berkesan dan berperikemanusiaan bagi kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan media harini.
Difahamkan, gesaan itu dinyatakan susulan kes seorang pelajar berusia 14 tahun yang tular dalam satu video menumbuk gurunya dan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada Rabu atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap guru lelaki dalam satu kejadian di sebuah sekolah menengah dua hari lalu.
“Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) melahirkan kebimbangan serius berhubung laporan bahawa seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun telah direman selama dua hari kerana didakwa menumbuk dan mengugut seorang guru selepas ditegur kerana tidak menghadiri kelas pendidikan jasmani.
“SUHAKAM berdiri teguh menyokong guru yang terlibat dan menegaskan bahawa keganasan dalam apa jua bentuk adalah tidak boleh diterima.
“Setiap individu sama ada guru, pelajar atau kakitangan mempunyai hak untuk berada dalam persekitaran yang selamat dan saling menghormati bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran,” ujarnya.
Kata Farah Nini, insiden itu harus dijadikan pencetus untuk merenung semula isu-isu sistemik yang lebih luas, termasuk keperluan untuk menilai sama ada sekolah mempunyai sistem sokongan tingkah laku yang proaktif dan positif.
Selain itu katanya, pelajar turut mempunyai akses tepat pada masanya kepada perkhidmatan kesihatan mental sama ada guru-guru dilengkapi dengan strategi penyelesaian konflik secukupnya dan pendekatan berasaskan trauma.
“SUHAKAM menggesa Kementerian Pendidikan, pentadbir sekolah dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk memperkukuh sistem sokongan holistik dan pencegahan yang mengutamakan kesejahteraan pelajar dan pendidik.
“Malaysia perlu melangkah ke hadapan daripada pendekatan hukuman semata-mata dan mengamalkan sistem keadilan kanak-kanak yang mencerminkan belas ihsan, keadilan, dan kepentingan terbaik kanak-kanak,” tambahnya.
Dengan itu, SUHAKAM kekal komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dan masyarakat sivil bagi merealisasikan visi ini.
Baca juga:








