SUHAKAM gesa lindungi identiti kanak-kanak kes Zara Qairina

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menegaskan semua pihak perlu melindungi identiti kanak-kanak yang terlibat dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir.

Menurut kenyataan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC), lima kanak-kanak yang bakal berdepan pertuduhan dalam kes berkenaan berhak mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], termasuk sokongan berasaskan trauma, khidmat perundangan dan layanan yang adil.

SUHAKAM menekankan bahawa nama, gambar, sekolah atau sebarang maklumat yang boleh membawa kepada pengenalan identiti mereka tidak boleh disiarkan.

“Seksyen 15 Akta 611 jelas memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, terhadap mana-mana pihak yang mendedahkan identiti kanak-kanak terbabit.

“Mahkamah Bagi Kanak-Kanak adalah mahkamah tertutup di bawah Seksyen 12 Akta 611. Privasi kanak-kanak mesti dihormati,” menurut kenyataan itu.

SUHAKAM turut mengingatkan orang awam agar tidak mewujudkan stigma terhadap kanak-kanak terbabit, selain menegaskan perbuatan membuli sama ada di sekolah mahupun dalam talian tidak boleh diterima.

Dalam masa sama, platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok digesa memperkemas dasar dalaman serta piawaian komuniti masing-masing bagi mengenal pasti dan memadam secara proaktif kandungan yang melanggar undang-undang.

“Sebarang kandungan yang boleh mengenal pasti kanak-kanak berpotensi menambah mudarat kepada mereka. Kegagalan bertindak segera boleh menyebabkan mudarat dan dianggap bersubahat dalam pendedahan yang menyalahi undang-undang,” jelas kenyataan itu lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat