MUAR: Ribuan anak muda membanjiri Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) di Muar bagi menyaksikan Majlis Pembukaan Rasmi Sukan Bangsa Johor 2025 yang berlangsung meriah dan bersemangat dengan kehadiran DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan pihak istana dalam memperkukuh pembangunan belia dan memartabatkan sukan sebagai wadah penyatuan rakyat.
“Menjunjung kasih DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sentiasa memberikan sokongan, nasihat dan iltizam tinggi dalam memperkukuh agenda pembangunan Orang Muda Johor dan memartabatkan sukan sebagai medium penyatuan Bangsa Johor,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sukan Bangsa Johor 2025 menampilkan penyertaan daripada kesemua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), menandakan komitmen inklusif kerajaan negeri dalam memasyarakatkan sukan.
Onn Hafiz berkata, temasya itu bukan sekadar gelanggang pertandingan tetapi medan memupuk semangat perpaduan, gaya hidup sihat dan pembangunan modal insan yang progresif.
“Saya percaya melalui penganjuran temasya seperti ini, anak-anak Bangsa Johor akan terus dipupuk dengan nilai sportiviti, kerjasama dan muafakat,” tambahnya.
Acara tahun ini mengetengahkan sukan futsal, bola jaring, sepak takraw dan bola keranjang sebagai acara utama selain memperkenalkan kabaddi sebagai sukan pertunjukan baharu sebagai simbol keterbukaan terhadap elemen budaya dan semangat komuniti.
Menurut beliau, kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM1.7 juta bagi menjayakan temasya termasuk suntikan RM20,000 kepada setiap DUN bagi memastikan tiada pihak yang tercicir daripada peluang pembangunan sukan.
Majlis perasmian turut diserikan dengan persembahan bertenaga oleh legenda rock tanah air, Datuk Amy Search, di hadapan lebih 5,000 pengunjung, peserta dan penonton yang hadir.
Onn Hafiz begitu yakin bahawa Johor akan terus menjadi negeri contoh dalam membudayakan sukan sebagai pemangkin jati diri, kebersamaan dan kegemilangan atlet tanah air.
“Saya yakin, dengan usaha berterusan dan sokongan padu semua pihak, Johor mampu melahirkan lebih ramai atlet berkualiti dan terus muncul sebagai negeri contoh dalam membudayakan sukan yang menyatu, membina jati diri dan membanggakan. Insya-Allah,” katanya.