IPOH: Kemajuan ekonomi negara mesti digerakkan seiring dengan pembangunan sukan yang menyemai perpaduan, disiplin dan semangat kebangsaan dalam kalangan rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap sempena sambutan Hari Sukan Negara peringkat kebangsaan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Anwar menyifatkan penglibatan anak muda dalam bidang sukan sebagai asas penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu dan berdaya tahan.
“Semalam (Jumaat), saya sudah berikan ucapan panjang lebar mengenai sukan, atletik dan semangat perpaduan (dalam Belanjawan 2026).
“Sukan melambangkan semangat perpaduan. Kita mesti menghargai sumbangan anak muda dalam menyokong sukan kerana ia menanamkan disiplin, semangat dan kebersamaan,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kerajaan bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, akan terus memperkukuh penyertaan akar umbi dalam bidang sukan tanpa mengira skala usaha.
“Kita akan perhatikan dan bantu sedaya mungkin, tidak kira besar atau kecil usaha itu kerana untuk negara ini maju dari segi ekonomi, budaya dan intelek, kita juga mesti maju dalam bidang sukan,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat agar mengekalkan semangat perpaduan tanpa mengira kaum dan latar belakang.
“Kekalkan semangat, disiplin dan perpaduan. Cina, Melayu, India, Kadazan, semua bersama,” katanya, mengingatkan bahawa kekuatan negara terletak pada kesatuan rakyatnya.
Sebagai bukti komitmen kerajaan terhadap pembangunan sukan, Belanjawan 2026 memperuntukkan lebih RM580 juta untuk sektor itu.
Peruntukan tersebut merangkumi pemerkasaan sukan berprestasi tinggi, termasuk program Road to Gold dan persiapan menghadapi Sukan SEA serta Sukan Para ASEAN 2027 yang akan dianjurkan oleh Malaysia.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.