BANGKOK: Kontinjen Malaysia terus menggegarkan pentas Sukan SEA ke-33 apabila mencatat satu lagi hari penuh gemilang pada hari kesembilan kejohanan (Rabu).
Dengan tambahan 40 pingat yang terdiri daripada 11 emas, 14 perak dan 15 gangsa telah mengekalkan momentum cemerlang buat negara.
Kejayaan bermula di IMPACT Arena, Nonthaburi, apabila Ummi Mashita Hassan menghadiahkan emas pertama melalui aksi penuh ketangkasan dalam acara Pencak Silat Wanita Kelas C (55-60kg).
Tidak lama kemudian, sorakan bergema di TerdThai Cricket Grounds, Bangkok, apabila pasukan Kriket Lelaki Malaysia melengkapkan ‘Double Emas’.
Selepas kejayaan T20i, mereka sekali lagi unggul dengan menjuarai Kriket Lelaki T10i, menewaskan Indonesia dengan kemenangan bergaya tujuh wiket.
Sejarah turut tercatat di gelanggang Muay, apabila peserta debutan Yan Jia Chi menewaskan lawan dari Indonesia, Filipina dan Thailand untuk merangkul emas dalam acara Muay Wanita Waikru Individu di Stadium Tinju Lumpinee.
Skuasy pula menghadiahkan emas keempat melalui pasangan muda Harith Danial Jefri dan Sehveetrraa Kumar dalam acara Beregu Jumbo Campuran (Bawah 21), menewaskan Filipina 2-0 di final.
Momentum kembali ke IMPACT Arena, apabila Muhammad Izzul Irfan Marzuki menghadiahkan emas kelima dalam acara Pencak Silat Lelaki Kelas D (60-65kg).
Detik bersejarah tercipta di Lapangan Menembak, Bangkok, apabila Gan Chen Jie bukan sahaja meraih emas pertamanya di Sukan SEA, malah mencatat Rekod Baru Sukan SEA dengan 451.7 mata dalam acara 50m Air Rifle 3 Position Wanita, mengatasi rekod lama milik atlet Vietnam.
Emas ketujuh kembali dari gelanggang Muay apabila Wassof Rumijam menewaskan jaguh tuan rumah, Huanak Thongchai, dalam acara Muay Lelaki Bantamweight 54kg.
Sorakan kemenangan turut bergema di Stadium Chantana Yingyong, Universiti Chulalongkorn, apabila pasukan Bola Jaring Malaysia menewaskan seteru tradisi Singapura 52-49 dalam perlawanan dramatik untuk merangkul emas kelapan.
Muay Thai sekali lagi menyumbang emas kesembilan apabila Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar (Miki) mengejutkan lawan tuan rumah, Sirilun Suphakon, dalam acara Featherweight 57kg Lelaki.
Skuasy kembali menyerlah dengan emas kesepuluh, apabila Harith Danial Jefri meraih emas keduanya hari itu bersama Low Wa Sern dalam acara Beregu Jumbo Lelaki (Bawah 21), menewaskan Filipina 2-1.
Emas ke-11 dan terakhir hadir di Sala Phra Kieo, Universiti Chulalongkorn, apabila pasukan E-Sukan Wanita Malaysia menewaskan Filipina 4-3 dalam final sengit Mobile Legends: Bang Bang.
Selain 11 emas, kontinjen turut meraih 14 perak dalam acara Memanah, Berbasikal Jalan Raya, E-Sukan, Ekuestrian, Muay, Pencak Silat, Menembak dan Pingpong serta 15 gangsa dalam pelbagai disiplin termasuk Billiard & Snuker, Terjun, Boling Tenpin, Triathlon dan Angkat Berat.
Sehingga tamat pertandingan pada Rabu, 17 Disember 2025, Malaysia telah mengumpul keseluruhan 190 pingat iaitu 41 emas, 45 perak dan 104 gangsa.








