BANGKOK: Malaysia terus mencipta detik gemilang di Sukan SEA Thailand apabila dua atlet muda negara, Yan Jia Chi dan Ummi Mashitah Hassan, masing-masing menghadiahkan pingat emas dalam disiplin muay thai dan silat pada Rabu.
Di Stadium Lumpinee, sensasi muay thai negara Yan Jia Chi lebih dikenali sebagai Angie mengejutkan penonton apabila menewaskan wakil tuan rumah merangkap juara dunia, Thongduang Thanawan, dalam acara wai kru.
Persembahan Angie memikat lima juri dengan kutipan 9.33 mata berbanding 9.20 mata milik Thanawan, sekali gus memaksa atlet Thailand itu berpuas hati dengan pingat perak.
Untuk rekod, Angie sebelum ini pernah meraih tiga kali pingat emas Kejohanan Dunia Bawah 23 Tahun (U23) IFMA pada 2023 di Thailand, 2024 di Greece dan 2025 di Turkiye.
Sementara itu, di Hall 4, Impact Arena, Muang Thong Thani, pesilat wanita negara Ummi Mashitah Hassan turut mencuri tumpuan apabila meraih pingat emas kelas C (55-60kg), sekali gus menghadiahkan emas kedua buat kem silat negara.

Atlet berusia 22 tahun kelahiran Miri, Sarawak itu menewaskan wakil tuan rumah, Anuntaya Niyompan, dengan keputusan 104-88 mata pada aksi final.
Kejayaan Ummi dianggap luar biasa kerana beliau hanya mula mengenali sukan silat dua tahun lalu tanpa sebarang asas sebelum ini.
Bermula dengan menyertai kelab Silat Gayong Ghaib di kampungnya, Ummi kemudian menembusi skuad Sarawak, meraih emas di Sukan Malaysia (SUKMA) dalam Kategori B (50-55kg), sebelum dipanggil menyertai pasukan kebangsaan oleh PESAKA.








