Sukan SEA 2025: Malaysia Catat 114 Pingat, Lonjakan Besar Pada Hari Kelima

PETALING JAYA: Kontinjen Malaysia terus mencatat pencapaian membanggakan di pentas Sukan SEA Thailand 2025 apabila setakat hari kelima temasya, negara telah mengumpul keseluruhan 114 pingat dengan pecahan 20 emas, 23 perak dan 71 gangsa.

Hari kelima menjadi detik lonjakan besar buat skuad negara apabila sebanyak 34 pingat berjaya diraih dalam satu hari sahaja yang terdiri daripada empat emas, lapan perak dan 22 gangsa.

Sorakan gemuruh penonton mengiringi kejayaan pasangan beregu wanita badminton, Pearly Tan dan M. Thinaah, yang menghadiahkan emas pertama pada Ahad.

Kejayaan turut disusuli oleh penembak negara, Johnathan Wong, yang mempamerkan ketenangan luar biasa untuk menjuarai acara 10m Air Pistol Lelaki.

Sukan tradisi negara, sepak takraw regu berpasukan lelaki, sekali lagi membuktikan dominasi Malaysia apabila muncul juara, manakala emas keempat hadir daripada gelanggang silat apabila Nursyafiqah Hamzah menampilkan persembahan mantap dalam kategori Tunggal Puteri.

Selain itu, lapan pingat perak turut menyumbang kilauan buat kontinjen negara.

Antara yang menyerlah ialah kejayaan atlet pelayaran, dengan Zafrins Syuhada meraih perak dalam acara ILCA 4 wanita, Khairulnizam Afendy dalam ILCA 7 lelaki serta Nur Shazrin dalam ILCA 6.

Pasangan Fauzi dan Juni Karimah pula menghadiahkan perak dalam acara 470 campuran.

Sukan angkat berat menyaksikan Aznil Bidin membawa pulang perak dalam kategori 65kg lelaki, manakala Nur Aisyah Zuber menambah satu lagi perak dalam acara berbasikal jalan raya kriterium wanita.

Beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, turut menyumbang perak selepas aksi sengit di final, diikuti skuad ragbi 7 sebelah wanita berpasukan yang menamatkan saingan di tempat kedua.

Tidak kurang penting, sebanyak 22 pingat gangsa berjaya dikutip daripada pelbagai disiplin termasuk kabaddi, badminton, karate lelaki dan wanita, pelayaran, menembak, ping pong, baseball5, wushu, tenpin boling dan renang.

Anda Mungkin Berminat