Sukan SEA 2025: Muay Thai Hadiah Dua Emas Lagi Menerusi Miki, Wassof

BANGKOK: Sorakan gemuruh di Stadium Tinju Lumpinee bertukar menjadi detik bersejarah buat Malaysia apabila dua anak muda negara, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar dan Wassof Rumijan, masing-masing menghadiahkan pingat emas dalam acara Muay Thai pada Sukan SEA Thailand 2025 pada Rabu.

Dalam kategori lelaki 57kilogram (kg), Mikail yang baru berusia 16 tahun tampil penuh berani menewaskan wakil tuan rumah, Suphakon Sirilun, sekali gus mencipta kejutan di gelanggang keramat Muay Thai dunia.

Tidak lama selepas itu, giliran Wassof pula mencuri tumpuan apabila menundukkan Thongchai Huanak dalam kategori lelaki 54kg, menambah emas kedua buat kontinjen Malaysia pada hari yang sama.

Kemenangan berganda itu bukan sahaja menambah pungutan pingat negara, malah membuktikan keupayaan atlet muda Malaysia menyaingi jaguh Thailand di gelanggang sendiri.

Mikail, adik kepada bintang Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali, menunjukkan disiplin dan ketenangan luar biasa walaupun berdepan tekanan sorakan penyokong tuan rumah.

Persembahan konsisten sepanjang tiga pusingan memastikan kemenangan berpihak kepadanya.

Wassof pula membuktikan bahawa Muay Thai Malaysia semakin matang dengan aksi penuh keyakinan, menundukkan lawan yang lebih berpengalaman.

Terdahulu, Malaysia turut meraih emas melalui Yan Jia Chi (Angie) dalam acara wai kru wanita individu, menjadikan Muay Thai sebagai salah satu sukan yang paling menyerlah buat kontinjen negara di Sukan SEA 2025.

Anda Mungkin Berminat