BANGKOK: Malaysia mencatat sejarah di Gimnasium Thammasat Rangsit apabila Rachel Yeoh Li Wen menghadiahkan pingat emas pertama gimnastik untuk negara pada Sukan SEA 2025.
Atlet berusia 26 tahun itu tampil cemerlang dalam acara palang bertingkat wanita dengan kutipan 13.300 mata, sekali gus menewaskan wakil Filipina, Haylee Garcia yang meraih 12.300 mata, manakala Colleen Kajia Hong dari Singapura membawa pulang gangsa dengan 10.933 mata.
Kemenangan itu bukan sahaja menambah koleksi pingat kontinjen negara di Bangkok tetapi juga mengukuhkan kedudukan Rachel sebagai ikon gimnastik Malaysia.
Lebih manis, kejayaan tersebut hadir selepas beliau pernah menjuarai acara sama di Hanoi pada 2021.
Dengan gimnastik wanita tidak dipertandingkan pada edisi 2023 di Kemboja, emas kali ini dianggap sebagai ‘comeback’ gemilang buat Rachel.
Selain kejayaan Rachel, gimnastik Malaysia turut menyumbang beberapa pingat lain pada hari yang sama.
Yeap Kang Xian meraih gangsa dalam acara vault wanita dengan 12.800 mata, manakala atlet lelaki, Luqman Al-Hafiz dan Sharul Aimy masing-masing menyumbang perak dan gangsa dalam acara lantai serta pommel horse.
Keseluruhannya, gimnastik menyumbang kepada pencapaian tiga pingat emas Malaysia pada Khamis.








