Sukuk Wakaf Tokenisasi Lonjak Inovasi Ekonomi Islam MADANI

PARLIMEN | Kerajaan meneruskan langkah memperkasa ekonomi Islam negara melalui inovasi kewangan berteraskan nilai dan keadilan sosial, dengan pelancaran Sukuk Wakaf Tunai berinovasi tokenisasi bagi membiayai keperluan sosial kritikal termasuk pendidikan khas, pusat autisme dan rawatan paliatif.

Inisiatif baharu ini diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena pembentangan Belanjawan 2026, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh peranan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam global.

“Wakaf bukan sekadar amal, tetapi aset ummah yang perlu digerakkan dengan teknologi dan niat yang suci. Dengan Sukuk Wakaf Tunai berinovasi tokenisasi, kita jadikan sumbangan rakyat sebagai pembiayaan lestari untuk membina sekolah anak istimewa, pusat autisme dan rawatan paliatif, inilah ekonomi ihsan yang kita perjuangkan,” kata Anwar.

Sukuk wakaf tokenisasi ini akan memperkenalkan model sumbangan yang lebih telus dan mudah diakses oleh rakyat, di mana dana wakaf boleh disalurkan secara digital dan digunakan semula untuk pembiayaan sosial mampan.

Langkah ini dijangka menjadi model rujukan baharu bagi pengurusan wakaf moden, di samping memperluas penyertaan masyarakat dalam pembangunan sosial negara.

Selain itu, UDA Holdings Berhad turut menerajui beberapa projek pembangunan tanah wakaf di Pulau Pinang termasuk Taman Wakaf Seetee Aisah dan Taman Sultan Sallehuddin, dengan nilai pelaburan hampir RM250 juta.

Dalam masa sama, kerajaan meneruskan usaha menjadikan Labuan International Business and Financial Centre (Labuan IBFC) sebagai Hab Kewangan Islam Digital, termasuk memperkenalkan Inisiatif Global Tokenisasi Sukuk bagi membolehkan sukuk diniagakan secara runcit melalui platform digital.

Model ini membolehkan penyertaan pelabur kecil sambil memperkukuh ekosistem kewangan berasaskan perkongsian risiko seperti musyarakah dan murabahah.

Kerajaan turut mengumumkan peluasan program iTEKAD dengan dana padanan sebanyak RM35 juta, bagi menyediakan geran kepada penerima yang mahu meningkatkan kemahiran mereka untuk pekerjaan, sekali gus memperoleh pendapatan lebih stabil.

Langkah ini, menurut Anwar, menggambarkan kesinambungan usaha Ekonomi Islam MADANI yang bukan sahaja memacu pertumbuhan, tetapi juga memperkukuh struktur sosial dan kesejahteraan rakyat.

Anda Mungkin Berminat